SINOPSIS SIRI JUTAWAN GEDIK
Sinopsis Jutawan Gedik
Kelab Jutawan Sri Bangsar? Wow! Ekslusifnya nama kelab terbaru yang ditubuhkan di Sekolah Sri Bangsar! Membuatkan semua berbisik teruja. Mesti sertai kelab baru yang cool bunyinya!Tidak ketinggalan sibuk mahu turut serta tentulah kumpulan The Wannababes. Yalah, siapa lagi yang layak digelar jutawan jika bukan mereka bertujuh? Mereka sememangnya tujuh pelajar paling kaya dan paling bergaya di seluruh antero sekolah. Selayaknya mereka dilantik jadi teraju utama!
Sewaktu pertemuan pertama, misi kelab diterangkan dengan lebih terperinci. Kelab Jutawan Sri Bangsar sebenarnya penjenamaan baru bagi Kelab Usahawan. Kelab yang mahu mendidik ahlinya berniaga. Berusaha sendiri mendapatkan kewangan supaya nanti boleh bergelar jutawan berjaya.
Sebaik mendengar misi bosan lagi skema itu, tujuh The Wannababes serentak bangun angkat kaki. Urgh! Mereka tidak mahu sertai Kelab Usahawan. Bosan, tidak trendi dan tidak minat mahu berniaga sendiri! Lagipun mengapa perlu bersusah-payah? Mereka sudah dilahirkan dalam keluarga kaya-raya. Tidak perlu kerja pun tidak mengapa! Tiada class jika disuruh berniaga!
Kelakuan The Wannababes membangkitkan rasa marah ahli-ahli lain. Membuatkan guru penasihat kelab itu sendiri mencabar mereka. Mesti jadi jutawan dengan usaha sendiri, bukan dengan duit ibubapa!
Kata-kata cabaran itulah memulakan segalanya. Satu tugasan diberi kepada semua. Misi mencapai RM1 juta menjadi matlamat utama. Buatlah apa cara sekalipun. Asalkan dengan usaha sendiri mencapai RM1 juta.
Maka bermulalah pengalaman lucu, kelakar dan menyedihkan dalam usaha mendapat RM1 juta. Ada yang mencari cicak bintik yang dikatakan boleh mengubat AIDS. Ada yang berniaga cupcake. Ada yang buat perkhidmatan pos surat layang Sri Bangsar. Isk! Macam-macam rupanya idea berniaga para pelajar demi mendapatkan RM1 juta.
Dan The Wannababes sendiri mahu mencapai RM1 juta dengan cara paling gedik bergaya. Mereka mahu buka salun dan spa kecantikan remaja. Mampukah mereka jadi jutawan dengan usaha mereka sendiri?
Bacalah kisah lucu gedik dunia remaja. Paling penting, dapatkan moral utama, hargai dana kewangan yang diberikan ibubapa! Ikuti nukilan AinMaisarah dalam novel bersiri Berita Harian bertajuk ‘Jutawan Gedik’
Jika mahu tahu lebih lanjut, apa bakal terjadi pada The Wannababes, dapatkan suratkhabar Berita Harian pada 15 Januari 2011.
Terima kasih atas sokongan semua.
Salam Sayang,
AinMaisarah
SIRI CERITA NYE ? TUNGGUU ....
JUTAWAN GEDIK (SIRI 1)
“Girls! Ada berita hangat. Ada cerita sensasi!”
Satu suara tidak cukup nafas sudah mendekati.
“Memang hangat sangat. Memang sensasi habis!”
Satu suara lain menyokong dari belakang. Bagaikan
gema bunyi yang terpantul dalam gua batu kapur yang
berketul-ketul.
Perbualan lima gadis jadi terhenti. Suapan makanan
yang diselang-seli turut terkaku sendiri. Fasharina
Tan Sri Hisham, gadis yang paling menyerlah di meja
itu sudah terangkat muka. Tanda berminat mendengar
isi gosip terbaru yang dibawa oleh pemberi
berita. “Apa yang sensasi sangat? Tahun baru begini, se
mua benda hanyalah rutin semata-mata.”
“Betul! Hari pertama persekolahan kita tahun ini
seperti tahun-tahun lepas juga. Masuk kelas baru.
Pilih meja kayu. Dapat senarai buku. Terima jadual
waktu. Oh, nothing interesting at all!” Fazura, seorang
lagi gadis yang menghuni meja itu turut menyampuk.
Pada penghujung kata, dia siap menguap besar.
Mempamerkan wajah bosan.
“Saya jamin. Berita kali ini memang sensasi.
Berita ini sesuai sangat dengan kumpulan kita,
kumpulan The Wannababes yang hebat sekali!”
Sazzy bersinar matanya bak mentari. Dia sendiri
mengurut dada berkali-kali seperti tidak dapat
menanggung keterujaan hati.
Nana, pembawa berita kedua yang berdiri
teguh di sisi Sazzy turut mengangguk. Tidak henti-henti
hingga menyamai lazimnya si burung belatuk. “Sebenarnya
kami baru balik dari bilik guru. Berita terkini yang kami
bawa ini sangat eksklusif. Para pelajar belum ada yang
tahu. Notis pengumuman pun belum ditampal di papan
kenyataan seperti selalu.”
“This news is really hot from the oven!” Sazzy masih jual
mahal mahu memberitahu gosip sebenar yang diketahui.
Terus-terusan berteka-teki. Masih main tarik-tarik tali.
Wajahnya mendongak tinggi. Berbangga kerana punya
nilai gosip berharga setaraf rancangan hiburan Melodi.
Perbuatan Sazzy dan Nana yang sudah membuang
masa rehat kumpulan The Wannababes selama lebih
satu minit membuatkan Fasha membulatkan mata. Dia
merenung dua ahlinya. “Hei… jangan buat kami
tertunggu-tunggu! Beritahulah sekarang juga!”
Menerima jelingan teramat tajam daripada si ketua
kumpulan, Sazzy akhirnya akur jua. Bercerita gaya
minah kepoh yang sangat teruja. “Sebenarnya
kami baru balik dari bilik guru. Terserempak dengan
pengetua kita yang sedang mengiringi seorang guru
baru. Guru lelaki! Hensem, tegap, kacak dan tinggi.
Persis pelakon Remy Ishak!”
“Huh? Itu saja gosipnya? Ada guru lelaki baru di
Sekolah Sri Bangsar yang kacak?” Shasha yang paling
serius dalam kumpulan sudah berkerut kening.
Kadangkala dia sendiri pening dengan kerenah
ahli kumpulan The Wannababes.
“Itu bukan gosip utamanya. Itu cuma gosip
sisipan sahaja. Alah… seperti suratkhabar Berita Harian juga.
Ada akhbar utama. Ada akhbar sisipan.” Nana sempat
lagi memberi contoh jenis-jenis gosip yang ada di muka
bumi mengikut pengetahuannya.
“Okey… jadi apa gosip utamanya?”
Fasha jelas sudah tegang muka.
“Gosip utamanya, kami terdengar apa yang
dibincangkan oleh pengetua dan guru baru tersebut
.” Sazzy kembali menyambung cerita gaya penglipurlara.
Walaupun infonya sedikit, tangannya hebat terawang-
awang ke udara. Over acting orang putih kata!
“Apa yang mereka bincangkan?” Linda, gadis
paling manis dalam kumpulan The Wannababes
turut mencelah. Sedari tadi menjadi pendengar setia
, kini dia juga mahu tahu isi sebenar gosip yang dibawa
oleh Nana dan Sazzy itu.
“Mereka bincangkan tentang penubuhan kelab baru.
Penubuhan kelab yang diberi nama Kelab Jutawan
Sri Bangsar.” Akhirnya! Nana mendedahkan juga gosip
paling utama.
“Kelab Jutawan Sri Bangsar?” Fasha mengulang sebut
nama kelab itu. Kepalanya ligat memproses fakta. Sambil
mata-matanya terkelip-kelip memandang Sazzy dan Nana.
“Ya! Kelab Jutawan Sri Bangsar! Bunyinya sangat eksklusif.
Saya rasa ia tentu ditubuhkan bagi mengumpulkan pelajar-pelajar
bertaraf anak jutawan di sekolah kita!” Penerangan Sazzy
membuatkan semua ahli The Wannababes bercahaya-cahaya
wajah mereka.
“Wow! Memang hebat betul nama kelab baru tersebut.
Sesuai sangat dengan darjat kita sebagai kumpulan The
Wannababes. Kumpulan paling popular dan paling kaya
seluruh Sekolah Sri Bangsar!” Fazura yang selalunya
sentiasa mengawal diri supaya kelihatancool tidak terkira,
akhirnya turut mengakui. Berita tentang kelab terbaru
yang ditubuhkan di Sekolah Sri Bangsar itu memang ada nilai
komersial. Memang sensasi dan terkini!
“Jika benarlah kelab ini akan ditubuhkan, kita mesti jadi
orang pertama yang mendaftar. The Wannababes bakal
jadi teraju utama kelab Jutawan Sri Bangsar.
And Fashrina Tan Sri Hisham will have to be the president.”
Belum sempat ada suara lain mencelah,
Fazura sudah mengutarakan pendapatnya. Kali ini
semua bersetuju. Semua sudah tidak sabar mahu menghadiri
pertemuan pertama kelab baru itu.
@@@@@
Gosip dan perkhabaran yang dibawakan oleh Sazzy dan
Nana dari bilik guru benar-benar menjadi realiti. Pada minggu kedua persekolahan, sudah ada notis iklan yang tertampal di papan kenyataan. Notis memberitahu, pertemuan khas akan diadakan bagi mengumpulkan pelajar-pelajar yang berminat menjadi ahli Kelab Jutawan Sri Bangsar. Ianya bakal diadakan di bilik tayangan, berlokasi di bangunan pentadbiran.
Sejak itu, tujuh The Wannababes kecoh berbincang. Merencana misi. Tunggak utama kelab baru itu mesti menjadi milik mutlak The Wannababes.
“Ingat! Kita mesti angkat tangan paling laju sekali! Biar sepantas kilat. Biar secepat The Flash. Biar tiada yang sempat bertindak! Biar tiada yang terlawan!”
“Jangan beri peluang langsung kepada budak biasa-biasa yang tidak bergelar jutawan masuk dalam organisasi pemerintahan!”
“Bila kita berkuasa, senanglah kita tentukan halatuju kelab. Kita pastikan ianya kekal eksklusif, berprestij dan bergaya. Setiap masa dan ketika.”
“Nanti antara aktiviti berprestij yang kita boleh lakukan adalah melawat rumah-rumah jutawan lain seperti Tan Sri Robert Kuok, Tan Sri Ananda Krishnan dan Dato’ Nazir Razak. Bolehlah ambil contoh tauladan dan inspirasi citarasa rumah jutawan-jutawan terkemuka.”
“Tapi misi paling teratas dalam carta adalah kita perlu berkenalan dan bersosial dengan anak-anak jutawan yang lain. Kita aturkan jodoh kita. Biar dengan anak jutawan juga. Sama taraf dan sama kekayaan. Barulah hidup senang-lenang hingga tujuh keturunan!”
Itulah isi-isi perbincangan serius The Wannababes sepanjang hari. Ianya bagi mempersiapkan diri menghadiri mesyuarat terulung Kelab Jutawan Sri Bangsar yang akan berlangsung sebentar sahaja lagi….
@@@@@
Bilik Tayangan, Sekolah Sri Bangsar.
Buat pertama kali dalam sejarah, The Wannababes menjadi pelajar paling awal yang duduk menunggu. Menjadi pelajar paling hadapan yang mengisi kerusi-kerusi berwarna biru. Mereka turut mempamerkan sikap kesopanan paling tinggi. Nilai kesusilaan paling jitu. Muka tersenyum menyenangkan. Wajah berkarisma bukan kepalang! Itu semua bagi memastikan guru baru itu dikaburi matanya. Moga-moga guru itu terus terpikat mahu memilih The Wannababes sebagai teraju utama.
Makin lama, bilik tayangan makin penuh. Ramai juga yang berminat memasuki Kelab Jutawan Sri Bangsar. The Wannababes pula bertindak sebagai pemerhati. Sambil berbisik bergosip sesama sendiri.
“Bilik tayangan hampir separuh penuh!” Sazzy berpusing ke kanan dan kiri. Jadi pelapor setia setiap masa dan ketika.
“Hish! Muka-muka pelajar biasa terlalu ramai. Mereka tidak sepatutnya ada di sini!” Dengan bibir mencebik, Linda merungut sendiri.
“Girls, no worries! Nanti kita cantas sahaja nama-nama yang bukan anak jutawan.” Fazura begitu menyombong diri memberitahu perancangan masa hadapan.
“Pada saya, jika mahu lebih eksklusif… setiap ahli kelab perlu tunjukkan penyata kewangan ibubapa terlebih dahulu. Jika betul ada aset, nilai hartanah atau wang simpanan melebihi RM1 juta, barulah boleh masuk Kelab Jutawan Sri Bangsar. Barulah betul-betul hanya anak-anak jutawan yang menyertai kelab ini!” Nana yang sememangnya anak kontraktor kaya itu sudah meletakkan syarat yang bukan-bukan. Mentang-mentanglah dirinya punya semua kemewahan harta benda yang disenaraikan!
Sebaik jam menunjukkan tepat pukul 2.00 petang, seorang lelaki berbadan tegap memunculkan diri. Dengan kemeja ungu dan tali leher merah jambu, dia tersenyum sebaik masuk bilik tayangan. Bibirnya menutur ayat pertama. “Assalamualaikum semua.”
Semua pelajar secara automatik menjawab salam. Pada masa yang sama… mata-mata yang ada memerhati atas dan bawah. Penampilan guru baru itu dinilai. Memang benarlah perkhabaran yang dibawa oleh Sazzy dan Nana. Guru itu muda, kacak dan bergaya. Memilih kemeja Paul Smith. Memakai seluar Dockers. Tali lehernya juga bercorak abstrak moden. Dia tidak membawa beg seperti lazimnya guru-guru lain. Sungguh berbeza apabila guru itu membawa organizer hitam dan sebuah Ipad pada genggaman tangan! Wah! Memang bergaya dan technology savvy sungguh orangnya!
“Nama saya Syed Putra bin Syed Hatta. Boleh panggil saya, Cikgu Putra.”
Ketika nama itu disebut, semua pelajar perempuan berbisik sesama sendiri. Tidak ketinggalan adalah kumpulan The Wannababes. Mata-mata mereka sudah merenung tidak berkelip.
“Cikgu Putra inilah jodoh saya!” Fazura yang paling gatal, laju sahaja buat pengumuman berbentuk bisikan pada The Wannababes lain. Dia mahu memastikan guru baru itu jadi miliknya!
“Cikgu Putra ini rasanya memang jutawan sebenar! Bajunya berjenama. Alat bantuan mengajarnya Ipad. Nama pun bermula dengan pangkal ‘Syed’. Mungkin ada bau-bau bacang dengan hartawan terkemuka Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary!” Diana turut berbisik teruja. Sungguh seronok masuk kelab jutawan ini! Guru penasihatnya kacak bergaya! Boleh cuci-cuci mata. Memang tidak rugi! Memang berbaloi-baloi!
Bisikan The Wannababes mereda apabila guru itu kembali bersuara. “Sebenarnya saya baru memulakan tugas di sini. Ini sekolah pertama tempat saya bertugas setelah tamat Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan di UiTM.” Guru itu memperkenalkan diri dengan senyuman di bibir. “Di sekolah ini, saya mengajar subjek Perdagangan. Saya juga turut diberi tanggungjawab memegang Kelab Usahawan Sri Bangsar yang guru penasihatnya sudahpun berpindah. Namun, saya rasa saya mahu tukar nama kelab yang terlalu biasa-biasa tiada perisa. Saya mahu mulakan sesuatu yang baru. Sesuatu yang lebih memberi impak dan gempak. Itu sebabnya kita lakukan penjenamaan semula. Nama Kelab Usahawan Sri Bangsar ditukar kepada Kelab Jutawan Sri Bangsar. Misi saya amat jelas. Saya mahu mendidik pelajar Sri Bangsar jadi usahawan yang jutawan. Kita akan belajar berniaga. Kita akan belajar jadi usahawan berjaya. Kita akan kumpul keuntungan bernilai RM1 juta. Itulah misi kelab kita!”
Sebaik mendengar penerangan guru muda itu, The Wannababes jadi ternganga. Sungguh tidak disangka, buah cempedak menjadi nangka! Mereka tersalah menyertai kelab rupanya! Ini kelab usahawan yang perlu bersusah-payah berniaga. Bukan kelab yang ahlinya jutawan berprestij dan hebat tidak terkira!
Tanpa disangka… baru separuh penerangan guru muda itu, Fasharina binti Tan Sri Hisham sudah bangun dengan laju. Wajahnya sombong. Bibirnya memuncung. Dengan berani dia bersuara dan mengangkat tangan tanda mahu perhatian semua.
“I’m sorry. Saya tersalah masuk kelab rupanya. Saya ingatkan ini betul-betul Kelab Jutawan Sri Bangsar. Rupanya ini kelab usahawan. Kelab yang perlu berniaga. Kelab yang tidak ada class langsung di mata saya!”
Kata-kata Fasha yang sangat berani membuatkan satu bilik tayangan jadi senyap sunyi. Senyuman guru baru bernama Cikgu Putra juga mengendur. Matanya tertacap tajam. Merenung Fasha sambil bertanya, “Awak sudah bertaraf jutawan?”
“Ya! Saya memang anak jutawan. Saya Fasharina, anak Tan Sri Hisham. Saya tidak perlu berniaga untuk kaya. Saya tidak mahu buang masa sertai kelab sebegini yang tidak bawa sebarang faedah pada diri.” Kata-kata Fasha betul-betul cari nahas kerana guru baru itu kini tidak lagi tersenyum. Guru baru itu memandang Fasha dengan muka merah,wajah menyinga dan sinar mata paling berbahaya….